1. Tenaga hidroelektrik
Tenaga hidroelektrik merupakan salah satu tenaga alternatif yang popular di negara-negara membangun. Tenaga ini dapat dijalankan di negara membangun kerana adanya sungai yang mempunyai aliran deras. Aliran sungai yang deras seperti air terjun membolehkan tenaga elektrik yang tinggi dihasilkan, misalnya di Malaysia yang mempunyai banyak empangan hidroelektrik seperti di Empangan Bakun, Sarawak. Hal ini demikian kerana aliran air yang jatuh dari puncak air terjun membolehkan turbin digerakkan dan seterusnya menyebabkan generator elektrik menghasilkan tenaga elektrik.
Bukan itu sahaja, isipadu air yang tetap dan banyak juga penting untuk penjanaan tenaga hidroelektrik. Isipadu air sungai yang sedikit menyukarkan turbin digerakkan dan secara tidak langsung menyebabkan tenaga elektrik yang terhasil adalah sedikit. Selain itu, tenaga hidroelektrik merupakan tenaga komersial yang keempat terbesar di peringkat global selepas minyak, arang batu dan gas. Dalam hal ini, dapat dilihat bahawa tenaga alternatif seperti tenaga hidroelektrik kini telah menjadi penting kepada penduduk dunia untuk membekalkan sumber elektrik.
Tenaga hidroelektrik juga menjadi komersial kerana tenaga ini bersih dan tidak mencemarkan udara. Penghasilan tenaga ini tidak membebaskan gas karbon dioksida yang mampu mencemarkan kandungan udara dan bahan radio aktif atau bahan kimia lain yang boleh mencemarkan sungai. Hal ini berbeza dengan tenaga konvensional seperti petroleum yang mampu mencemarkan kandungan udara sekeliling ketika penghasilan minyak. Tenaga hidroelektrik juga telah menjadi komersial kerana tenaga ini selamat digunakan dan sangat efisien kepada pengguna.
Di samping itu, tenaga hidroelektrik banyak dijana di negara-negara membangun kerana kebanyakan sungai di negara ini sentiasa mengalir sepanjang tahun. Hal ini membolehkan tenaga elektrik sentiasa dapat dijana setiap masa. Tenaga hidroelektrik sukar dijana jika aliran sungai tidak berlaku sepanjang tahun. Selain itu, negara-negara membangun juga memiliki banyak tempat strategik untuk membina empangan hidroelektrik. Hal ini membolehkan tenaga hidroelektrik banyak dijana di negara tersebut. India merupakan salah satu negara yang banyak menjana tenaga hidroelektrik.
Tambahan lagi, tenaga hidroelektrik juga amat murah untuk dijanakan. Oleh sebab itu, negara-negara membangun banyak menjana tenaga ini kerana hal ini bersesuaian dengan keadaan kewangan negara membangun yang masih belum begitu kukuh. Sebaliknya, penjanaan hidroelektrik ini mampu memberikan pulangan yang agak lumayan kerana tenaga ini merupakan salah satu tenaga yang komersial di dunia.